Thursday, February 19, 2009

PENCABULAN HAK INDIVIDU; AMK SOKONG ADUN BUKIT LANJAN

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

19 Feb 2009

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin menyatakan sokongan kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga ADUN keADILan Bukit Lanjan, YB Elizabeth Wong berikutan kontroversi yang melibatkan diri beliau.

Berkenaan dengan isu yang melibatkan Elizabeth ini, beliau tidak perlu meletak jawatan atas beberapa faktor. Pertamanya beliau bukan memperlakukan adegan lucah sebaliknya gambar beliau diambil secara curi dan tanpa kesedaran beliau.

Keduanya, kehidupan peribadi beliau adalah satu perkara yang perlu dihormati dan sebarang usaha pencabulan hak individu beliau adalah sesuatu yang tidak bermoral.

AMK memandang serius akan perbandingan yang cuba dibuat oleh pihak TV3 dalam Buletin Utama 17 Januari 2009 dengan mengaitkan kes Vijandran, Chua Soi Lek, V.K. Lingam dan sebagainya dengan kontroversi yang melibatkan Elizabeth ini.

Ianya benar-benar berniat jahat kerana kes-kes tersebut semuanya melibatkan perlakuan moral individu tersebut yang jelas salah di sisi agama dan juga tatasusila masyarakat.

Demikian juga dengan kenyataan tidak bertanggungjawab Ketua Pembangkang BN Selangor, Dato' Seri Dr. Mohd Khir Toyo yang cuba memesongkan fakta yang berlaku ke atas bekas Menteri Kesihatan dengan Y.B Elizabeth. Beliau perlu maklum bahawa apa yang berlaku kepada bekas Menteri Kesihatan adalah sesuatu yang berbeza memandangkan pendedahan melibatkan bekas Menteri terbabit adalah merupakan skandal seks. Sedangkan apa yang berlaku ke atas Elizabeth adalah merupakan satu penganiayaan yang dilakukan ke atas beliau tanpa beliau sedar.

Tindakan Elizabeth menawarkan diri untuk meletakkan jawatan adalah tindakan terpuji kerana meletakkan parti di depan melebihi hal peribadi. Tetapi AMK percaya bahawa tidak ada keperluan bagi Elizabeth untuk mengundurkan diri kerana beliau tidak bersalah atas soal isu ini melibatkan peribadi beliau.

Sokongan rakyat jelas terbukti di Bukit Lanjan dan seluruh Malaysia terhadap Elizabeth, malah kebanyakan organisasi NGO dan sayap wanita parti-parti politik termasuklah di kalangan parti komponen BN seperti MCA sendiri.

AMK berpendapat bahawa Elizabeth perlu meneruskan tugas beliau seperti biasa dan terus berkhidmat kerana rakyat memerlukan beliau dan berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau sepanjang 11 bulan beliau menjadi ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Hj Ramlan Roes
Exco,
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
Merangkap Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment